ad
BERITA UTAMA

Sultan Ibrahim tegas pertahan simbol kedaulatan negara, elak dipersenda

2 Jun 2025, 12:13 PM
Sultan Ibrahim tegas pertahan simbol kedaulatan negara, elak dipersenda

Oleh Sofea Susan Albert Kassim

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitik berat simbol kedaulatan negara baik bendera, jata mahupun lagu kebangsaan supaya ia sentiasa dihormati dan dipandang tinggi segenap lapisan masyarakat.

Simbol tersebut bukan sahaja memiliki nilai tinggi, bahkan ia menegakkan identiti dan maruah sesebuah negara. Justeru, penghormatan terhadap simbol berkenaan perlu dipelihara tanpa sebarang kompromi.

Kesilapan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit iaitu lambang Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dilakukan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan pantas mendapat perhatian Baginda.

 

Dukacita kesilapan bendera

 

Sehari selepas siaran kontroversi sempena liputan kunjungan Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu, Seri Paduka menegur kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Menegaskan simbol kedaulatan bukan perkara ringan, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa dukacita. Baginda mengingatkan lambang kedaulatan dan identiti negara tidak boleh dipersenda.

Baginda juga menitahkan pengurusan akhbar berkenaan supaya lebih peka dan teliti membuat semakan berkaitan simbol negara lantaran kesilapan sedemikian boleh mencetuskan sensitiviti rakyat.

"Bendera bukan sekadar kain bercorak yang berwarna-warni tetapi mewakili perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat jelata.

“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa," titah Baginda di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 16 April.

Sebagai pemimpin tertinggi, Seri Paduka mengikuti perkembangan politik tanah air. Baginda sentiasa melontar teguran kepada pemimpin supaya memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi atau parti.

Seri Paduka mengingatkan semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara betapa parlimen bukan tempat bertegang urat, memaki-hamun atau menabur fitnah. Sebaliknya, parlimen tempat berbahas isu rakyat dan kemakmuran negara.

"Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat. Justeru itu, hentikan tindakan bermain politik atas setiap isu.

"Dan, jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja,” titah Baginda lagi.

Sultan Ibrahim juga menekankan kepentingan aspek kecekapan dan keberkesanan penyaluran subsidi bersasar demi keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat.

Menganggap pendekatan tersebut berupaya mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kerajaan, Baginda juga tidak mahu ada unsur penyelewengan dalam pengagihan subsidi berkenaan.

"Kerajaan hendaklah menentukan agar prestasi yang baik ini membawa pelbagai nikmat kemakmuran kepada seluruh rakyat, dan bukan hanya membawa kekayaan kepada kumpulan tertentu sahaja.

"Manakala penjimatan yang diperolehi boleh dilaburkan dalam pelbagai sektor penting yang lain," titah Baginda.

 

Kecam kekejaman Israel

 

Seri Paduka juga mengambil berat isu pergolakan antarabangsa terutama penindasan berterusan rejim Israel terhadap penduduk Palestin.

Baginda mengecam keras kezaliman rejim zionis yang sehingga kini belum ada noktahnya. Baginda menegaskan Malaysia perlu kekal teguh bersama rakyat Palestin dan memperjuang keadilan buat mereka.

“Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan dan keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan,” titah Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pada 3 Februari.

Demi memastikan keadilan sosial untuk rakyat, Sultan Ibrahim lantang mengecam gejala buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) pada akhir tahun lalu.

Selaku Canselor UPNM Seri Paduka menitahkan perbuatan sedemikian mesti dihenti segera. Baginda turut mengarahkan Kementerian Pertahanan mengambil perhatian serius kes buli di institusi tersebut.

Jika berterusan, Sultan Ibrahim enggan nama Baginda dikaitkan dengan universiti itu lagi.

"Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.

"Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini (UPNM) untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera," titah Sultan Ibrahim.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.