SHAH ALAM, 6 SEPT : Orang ramai dipelawa menyertai program saringan kesihatan percuma di Dewan MBSJ SS15, Subang Jaya pada Sabtu dan Ahad ini, mulai 9 pagi hingga 3 petang.
EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya itu menyediakan ujian seperti jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang, barah, mata, telinga dan gigi.
“Jom ramai-ramai berkunjung ke lokasi program Selangor Saring. Ambil peluang ini untuk melakukan saringan kesihatan percuma. Hubungi Selcare di talian 1800226600 jika ada masalah pendaftaran,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata orang ramai boleh mendaftar Selangor Saring di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) semudah empat langkah berikut:
- memuat turun SELangkah
- tekan butang Selangor Saring
- isi borang soal selidik
- pilih lokasi dan tarikh program
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2024 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan saringan kesihatan percuma.
Sebelum ini saringan kesihatan percuma itu telah diadakan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) antaranya Paya Jaras, Dengkil, Sungai Tua, Batu Tiga dan Pandamaran.