ad
AGENDA

Kanak-kanak lelaki 10 tahun pandu kereta terlibat kemalangan

4 Sep 2024, 3:00 PM
Kanak-kanak lelaki 10 tahun pandu kereta terlibat kemalangan

SEREMBAN, 4 SEPT: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikesan memandu kereta milik keluarganya bersama rakan hingga terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di sini, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian 9.30 malam itu, kereta terbabit turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, lapor Berita Harian.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika kereta jenis Toyota Corolla dipandu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama rakannya berusia sembilan tahun.

"Kereta itu dipercayai milik ibu bapa kanak-kanak berkenaan, manakala rakannya pula adalah anak kepada jiran.

"Mereka dari arah Apartment Arowana Impian ke Taman Arowana Impian. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu dikatakan terbabas ketika melalui selekoh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kereta terbabit kemudiannya dikatakan melanggar sebuah van jenis Toyota yang diparkir di kiri bahu jalan.

"Akibat rempuhan itu, van berkenaan menggelongsor ke hadapan dan merempuh sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.