SHAH ALAM, 3 SEPT: Ahli- ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di peringkat akar umbi perlu kekal bersatu hati bagi mengukuhkan kedudukan pimpinan di Putrajaya dan kerajaan negeri sedia ada.
Bercakap di hadapan hampir 400 reformis, Naib Presiden KEADILAN Dato' Seri Amirudin Shari berkata semua ahli perlu mencari titik keseimbangan dan tidak menggadaikan asas perjuangan parti.
“Imbas kembali sejarah dan jadikan pengajaran untuk maju ke depan. Ini tanggungjawab kita kukuhkan kedudukan pimpinan di Putrajaya dan kerajaan-kerajaan kita.
“Kita cari titik kesimbangan tetapi jangan gadai asas perjuangan… boleh kritik, marah tetapi kena tahu di antara musibah besar dan kecil. Negara sedang dalam proses pemulihan dan lihat ringgit sekarang sudah naik tetapi apa mereka (Perikatan Nasional) buat.
“Sebab itu, keyakinan dengan pengalaman ditunjukkan lihat trek rekod Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan lain. Harus ada kepercayaan dan kekuatan,” katanya pada majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena memperingati gelombang 26 tahun reformasi di kediaman rasmi malam tadi.
Berikutan itu, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar mengajak semua untuk terus menggembleng kekuatan bersama untuk pastikan Anwar kekal sebagai perdana menteri bagi penggal kedua.
“Untuk terus jadikan beliau perdana menteri penggal kedua, semua kena bantu… betul mungkin ada yang tidak setuju kerana tidak dapat berjumpa beliau kita boleh sampaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin menyeru supaya semua ahli tidak terus mengalah atau dikelabui dengan pelbagai tawaran dalam perjuangan reformasi.
“Allah telah anugerah kemenangan parti dan Pakatan Rakyat pada 2008, perlu kekalkan sebagai asas perjuangan reformasi yang dilihat pada hari ini.
“Ada orang dulu nampak hebat tetapi terkandas, hilang tumpuan, menyerah, merajuk dan berundur tetapi Anwar tidak pernah sesekali menunjukkan tanda-tanda letih atau bersedia berundur. Ini menjadi paksi kepada kemenangan dan kejayaan hari ini dan masa depan,” ujarnya.