AGENDA

Pesara bank rugi hampir RM2 juta jadi mangsa sindiket penipuan

1 Sep 2024, 1:42 AM
Pesara bank rugi hampir RM2 juta jadi mangsa sindiket penipuan

SHAH ALAM, 1 SEPT: Polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung pesara bank wanita mengalami kerugian RM1.98 juta dipercayai jadi mangsa sindiket penipuan 'love scam'.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya menerima laporan pada 4.10 petang kelmarin daripada pesara berusia 64 tahun itu yang merupakan mangsa penipuan berlaku di Bukit Jelutong di sini membabitkan penerimaan satu bungkusan.

“Untuk menebus bungkusan tersebut, wanita tempatan yang merupakan pengadu memasukkan wang menerusi 12 transaksi ke 12 akaun berlainan sejak Mei lalu seperti diarahkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hussein berkata susulan itu pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

Beliau menasihati orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan penipuan seperti itu dan jangan melayan mereka yang tidak dikenali di media sosial.

“Jangan mudah percaya dengan kenalan di media sosial. Semak dahulu sebelum membuat transaksi kewangan serta sahkan nombor telefon serta akaun di https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

- BERNAMA