AGENDA

PM: Anak muda tidak boleh buta sejarah

30 Ogos 2024, 12:59 PM
PM: Anak muda tidak boleh buta sejarah

SHAH ALAM, 30 OGOS: Golongan muda diseru meningkatkan pengetahuan dan kefahaman mengenai sejarah kemerdekaan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya dengan ilmu dan memahami sejarah mereka akan menghargai kemerdekaan yang diperjuang dan dikecapi pimpinan terdahulu.

“Kita belajar dari sejarah. Buta sejarah, buta hati,buta perasaan, buta ciri kemanusiaan. Anak-anak muda generasi penerus yang akan menentukan arah negara ini. Maka belajarlah. Dapatkan pencerahan sebenarnya.

“Jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama dipermain dan diperolok oleh orang yang mahukan kuasa atau pengaruh. Cari kebenaran, tegakan keadilan, selamatkan bangsa dan angkat martabat negara,” katanya.

Menyampaikan amanat perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini Anwar berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab generasi muda untuk selamatkan negara dan bangsa.

“Kita jangan lupa landasan kita bahawa perjuangan ini (menuntut kemerdekaan) adalah perjuangan yang telah meragut banyak nyawa dan pengorbanan yang besar.

“Bacalah sejarah. Sebab itu saya tegaskan untuk pencahkan tembok-tembok yang mengganggu dan menghalang kejayaan kita. Biarkan kekuatan baharu datang dengan pengetahuan dan pencerahan, semangat, cita-cita murni dan idealistik serta tindakan dan amal soleh,” katanya.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok.

Acara gilang gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.