SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbuatan membakar api perkauman dan menghasut permusuhan tidak diterima sama sekali di negara ini.
Beliau turut memberi amaran untuk meminda peruntukan dan undang-undang berkaitan perbuatan itu bagi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya menimbulkan kebencian antara kaum.
Jelasnya, Malaysia yang kini dalam landasan tepat dan mampu diangkat cemerlang menolak kelompok yang membawa keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.
“Saya tidak peduli apakah disenangi media antarabangsa atau negara luar. Tugas kita adalah selamatkan Malaysia tercinta dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada.
“Jika tidak cukup, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang dan ambil tindakan supaya negara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan dunia ini,” katanya.
Menyampaikan amanat perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini, Anwar menegaskan Kerajaan Perpaduan tidak pernah berganjak daripada menoktahkan pimpinan rakus dan salah guna kuasa.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan sepakat memulakan pimpinan baharu yang lebih bertanggungjawab, memenuhi aspirasi rakyat, selain tidak mengizinkan kekayaan negara dirompak.
“Jangan biarkan keterlanjuran berterusan mengizinkan sikap tamak haloba dan khianat kepada negara yang hanya mahu pertahankan kuasa dengan bengis dan rakus,” katanya.
Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok dengan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta.








