AGENDA

PM: Usah remehkan semangat perpaduan tertanam sekian lama

30 Ogos 2024, 11:40 AM
PM: Usah remehkan semangat perpaduan tertanam sekian lama

SHAH ALAM, 30 OGOS: Rakyat diseru tidak meremehkan semangat perpaduan yang telah lama ditanam dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Perdana menteri berkata kemerdekaan itu harus dimaknai dengan semangat perpaduan dan jiwa merdeka, bukan sekadar meninggalkan sistem pemerintahan yang lampau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata memaknai kemerdekaan bermaksud memahami liku dan menyingkap lembaran sejarah getir pengorbanan generasi terdahulu.

“Kalau kita telurusi pidato awal pejuang seperti Almarhum Dato’ Onn Jaafar, dan kemudian tokoh pejuang seperti Temenggung Jugah dan Tun Fuad Stephens.

“Semuanya bicara soal meminta supaya kemerdekaan itu dimaknai dengan semangat perpaduan, jiwa merdeka yang baharu bukan sekadar meningggalkan sistem pemerintahan yang lampau.

“Kadang-kadang kita terlupa bahawa ini (kemerdekaan dikecapi) tidak mungkin berlaku tanpa wawasan pimpinan (terdahulu). Ia tidak mungkin berlaku tanpa semangat perpaduan semua kaum dan suku kaum,” katanya berucap menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, katanya di Tanah Melayu kekuatan kebangsaan bermula dengan kekuatan nasionalisme kebangsaan Melayu dan semangat Islam sebagai asas.

“Usaha meningkat untuk mencapai kemerdekaan atas kebijaksanaan tokoh lampau. Peringkat awalnya almarhum Dato Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman adalah mengumpul kekuatan semua kaum, supaya tidak dijadikan politik adu domba, pecah perintah oleh penjajah Inggeris,” katanya.

Anwar berkata semua rakyat harus menerima kenyataan kemerdekaan negara dicapai kerana kekuatan rakyatnya bersatu.

“Ya. Berbeza pendapat dalam hal kecil. Tapi semua harus terima di negara Malaysia tercinta ini, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan secukupnya.

“Jadikan Hari Kebangsaan 2024 sebagai tempat kita berpaut kepada satu sama lain.

“Percayalah negara ini hebat kerana hebat rakyatnya, negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat. Angkat darjat negara ini sebagai negara hebat di dunia ini,” katanya.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok.

Acara gilang gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan melibatkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.