AGENSI

Jualan murah sempena merdeka, kunjungi Wisma PKPS Seksyen 14 malam ini

30 Ogos 2024, 1:00 AM
Jualan murah sempena merdeka, kunjungi Wisma PKPS Seksyen 14 malam ini
Jualan murah sempena merdeka, kunjungi Wisma PKPS Seksyen 14 malam ini

SHAH ALAM, 30 OGOS: Orang ramai berpeluang membeli barangan dapur murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) 'Jiwa Merdeka' di depan Wisma PKPS, Seksyen 14 di sini, 8 malam ini.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan istimewa itu dianjurkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri yang turut disambut di Dataran Kemerdekaan.

"Istimewa sempena Merdeka ke-67 tahun, Jualan Ehsan Rahmah bakal menemui anda semua sebelum detik 31 Ogos menjelma. Jom berjimat di JER, kami tunggu di Wisma PKPS," maklumnya di Facebook.

PKPS juga mengendalikan program jualan murah enam barangan utama iaitu ayam, daging pejal, telur, ikan kembung, minyak masak dan beras di beberapa lokasi pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Pada Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian Jualan Ehsan Rahmah (JER) anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.