SHAH ALAM, 28 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga mempelawa kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun menyertai bengkel badminton percuma anjurannya bersama FY Brothers Badminton Academy.
Danial Al-Rashid Haron memaklumkan program B3 Junior itu terhad kepada 240 kanak-kanak terawal bagi mencungkil bakat muda dalam sukan badminton.
“Suka untuk saya kongsikan, FY Brothers Badminton Academy akan berkolaborasi bersama ADN Batu Tiga untuk program B3 Junior.
“Secara ringkas, program ini bertujuan melatih dan mengembangkan bakat muda dalam sukan badminton dengan bimbingan jurulatih profesional,” katanya di Facebook.
Tambah Danial, peserta akan dibahagikan kepada tiga kumpulan selain bengkel badminton berkenaan dijangka bermula pada 1 September hingga 6 Oktober depan.
Jelasnya, peserta berpeluang merasai pengalaman sesi latihan bersama jurulatih profesional, tajaan latihan intensif dan baju eksklusif percuma untuk setiap penyertaan.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut: https://linktr.ee/Smashchine