PETALING JAYA, 27 OGOS: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam mengulangi kecemerlangan dua tahun lalu apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari 2024 (bawah 18 tahun).
Perlawanan akhir di Stadium MBPJ di sini malam ini menyaksikan SMK Shah Alam menewaskan SMK TTDI Jaya 4-1 dalam cuaca hujan sepanjang 60 minit pertandingan.
Johan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat dan piala iringan yang disampaikan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi. Manakala naib johan memenangi RM7,000 dan pingat.
Pemain SMK Shah Alam, Muhammad Hadif Muhammad Azizul dinobat sebagai penjaga gol terbaik dan Anugerah Penjaring Terbanyak diberikan kepada Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny.
Selain itu, Anugerah Pemain Terbaik diberikan kepada Khalish Fakhrey Mohd Razilan yang juga dari sekolah yang sama.
[caption id="attachment_660310" align="alignnone" width="784"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah diperkenalkan dengan pemain dari Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Dato' Mokhtar Dahari (bawah 18 tahun) di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 27 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mencemar duli ke perlawanan berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda kira-kira jam 7.45 malam disambut EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi dan Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan.
Mohd Najwan ketika ditemui berkata kedua-dua pasukan yang bertanding dalam perlawanan akhir menampilkan persembahan amat baik walaupun cuaca hujan.
[caption id="attachment_660343" align="alignnone" width="842"] Aksi perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Dato' Mokhtar Dahari (bawah 18 tahun) di antara SMK TTDI Jaya dan SMK Shah Alam di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 27 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kebanyakan pemain mempunyai potensi yang besar oleh itu saya akan berbincang dengan pengurusan Selangor FC untuk perkenalkan mereka supaya dapat gilap bakat ke peringkat lebih tinggi.
“Kita mahu jadikan perlawanan ini menjadi sebahagian inisiatif cungkil bakat baharu di peringkat sekolah menengah,” katanya.
Sebanyak 96 sekolah menengah dan kebangsaan seluruh negeri menyertai Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari dan Piala Raja Muda Selangor (RMS) yang bermula bulan ini.
Penyertaan melibatkan 32 pasukan bagi Piala Dato’ Mokhtar Dahari bawah 18 tahun, bawah 15 tahun serta bawah 12 tahun untuk Piala RMS.