AGENDA

Pakar: Selalu rasa diri betul, individu narsisistik perlu rawatan

27 Ogos 2024, 8:38 AM
Pakar: Selalu rasa diri betul, individu narsisistik perlu rawatan

Oleh AIDA MOHAMED NYAN

SHAH ALAM, 27 OGOS: Individu narsisistik disaran untuk mendapatkan rawatan segera bagi mengelak kesan negatif terhadap diri sendiri atau masyarakat sekeliling.

Ahli Psikologi Klinikal Pusat Kaunseling Selangor, Megat Syaiful Izuudin berkata golongan ini tidak sedar mereka mengalami gangguan personaliti sehingga menjejaskan orang lain.

"Individu yang ada sifat narsisistik ini kebanyakan mereka tidak sedar yang mereka ada ciri tersebut sebab bagi mereka ciri-ciri ini tidak memberi kesan buruk kepada mereka.

"Tapi sebaliknya memberi kesan buruk kepada orang sekeliling mereka. Tapi bagi mereka itu bukan satu keburukan dan menjejaskan hidup dia.

"Sebab itu dia rasa tiada masalah pada dia untuk mempamerkan karakter dekat orang sekeliling," katanya dalam program Hai Selangor bertajuk 'Narsisistik: Dia je betul'.

Jelas Megat Syaiful, salah satu ciri-ciri individu narsisistik adalah mereka sentiasa memuji dan mengagumi diri sendiri secara berlebihan.

"Narsisisme ini maksudnya dia adalah individu yang memuja dan mengagumi diri sendiri. Contohnya, dia nak highlightkan tu berlebih-lebihan dan jadikan dirinya sebagai spotlight (tumpuan) dan perlukan perhatian.

"Dia juga manipulatif dan suka mengambil kesempatan kepada orang lain," katanya.

Tambah Megat Syaiful, individu narsisistik juga sangat bangga dan rasa lebih baik, hebat dan unik daripada orang lain sehingga perlu merendahkan orang lain

"Dan mereka juga selalunya mempunyai ciri sombong, berlagak dan meremehkan orang lain.

"Orang yang mempunyai ciri-ciri narsisistik ini dia ada beberapa tahap sehingga mencapai tahap yang sangat tinggi dan berlebihan yang mana tahap ini boleh menjejaskan fungsi kehidupan mereka dan orang di sekelilingnya.

"Orang yang dalam keadaan ini kita namakan sebagai pesakit Narcisistic Personality Disorder (NPD) atau kecelaruan personality narsisistik."

Megat Syaiful menjelaskan antara faktor yang mempengaruhi seseorang untuk mempunyai sifat narsisistik adalah trauma masa lampau.

"Faktor yang pertama adalah faktor biologi yang mana kajian dari luar negara mendapati bahawa faktor genetik itu memainkan peranan mempengaruhi pembentukan sifat-sifat narsisistik kepada individu."

"Individu-individu yang mempunyai ciri narsisistik ni, mereka dahulunya mempunyai trauma. Kemungkinan pernah mendapat kritikan yang melampau sewaktu kecil atau daripada aspek ibu bapa yang terlalu memanjakan anak atau tidak menegur anak apabila melakukan kesilapan.

"Ini menyebabkan mereka sukar menerima kritikan dan rasa dia je betul," katanya.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=A74afAN6AC4[/embed]