AGENDA

PM zahir simpati, beri jaminan operasi cari wanita warga India diteruskan

25 Ogos 2024, 6:33 AM
PM zahir simpati, beri jaminan operasi cari wanita warga India diteruskan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warganegara India yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, akan diteruskan.

Anwar yang menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa seorang wanita dikenali Vijayaletchumy berusia 48 tahun itu, berkata beliau sudah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menemui keluarga mangsa.

“Saya sudah minta DBKL jumpa keluarga (mangsa) dan kita lahirkan simpati (dengan kejadian) dan kerja (SAR) harus diteruskan. Ada masalah dengan tanah itu, kita kena selesaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam insiden 8.22 pagi kelmarin, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus.

Difahamkan mangsa dan keluarganya dijadualkan pulang ke India semalam selepas dua bulan melancong ke Malaysia.

- BERNAMA