AGENDA

Polis tahan lelaki warga asing, rampas lebih 25kg dadah

21 Ogos 2024, 3:31 PM
Polis tahan lelaki warga asing, rampas lebih 25kg dadah

KUALA LUMPUR 21 OGOS: Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, di sekitar Ampang dua hari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata lelaki itu ditahan dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Australia Federal Polis (AFP).

Beliau berkata polis turut merampas 25.65 kilogram dadah jenis methamphetamine, 717 gram heroin dan dua botol cecair kimia 9 liter dalam serbuan itu.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyewa rumah kedai untuk dijadikan stor menyimpan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran luar negara menggunakan perkhidmatan kurier. Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM883,093 dan boleh digunakan oleh kira-kira 180,000 orang penagih dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu beliau berkata sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

Khaw berkata saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan dia kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.