ad
AGENDA

Hari Kebangsaan: Larangan guna dron seluruh negara mulai Isnin

20 Ogos 2024, 12:26 AM
Hari Kebangsaan: Larangan guna dron seluruh negara mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Penggunaan dron tanpa kelulusan di lokasi-lokasi sambutan dan perarakan di seluruh negara sempena persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan 2024 bermula dari 26 hingga 31 Ogos ini, adalah dilarang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan di laman media sosial Facebook memaklumkan, larangan itu untuk memastikan persiapan dan sambutan Hari Kebangsaan dapat dilaksanakan dengan selamat selain mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini membabitkan aspek keselamatan orang awam.

“Larangan ini juga bertujuan untuk mengelak risiko kemalangan terhadap pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang menjalankan latihan dan pertunjukan penerbangan formasi rendah di beberapa lokasi sambutan.

“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3); Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan Penerbangan Awam Malaysia dan Civil Aviation Directives (CADs),” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Unit UAS CAAM di e-mel [email protected] atau layari laman sesawang www.caam.gov.my

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.