AGENDA

PM umum sistem saraan baharu perkhidmatan awam, berteras prestasi

16 Ogos 2024, 2:46 AM
PM umum sistem saraan baharu perkhidmatan awam, berteras prestasi

SHAH ALAM, 16 OGOS - Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diperkenal bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember dengan berteras kepada prestasi kakitangan awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu kerajaan tidak mahu sewenang-wenangnya memberi layanan sama kepada semua kakitangan dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

“Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.

“Mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja baik, culas, tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan ketua jabatan tidak akan diberi ganjaran,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara berkenaan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 di sini pada 16 Ogos yang turut menggariskan pembaharuan dalam sistem tersebut berbanding SSM.

Anwar menjelaskan pembaharuan tersebut bertujuan meningkatkan daya saing negara termasuk pendapatan negara melalui pertambahan produktiviti dan tahap kecekapan penjawat awam.

Beliau turut berterima kasih kepada kakitangan awam yang mencapai banyak kemajuan termasuk pengorbanan mereka sebagai antara barisan hadapan ketika menangani pandemic Covid-19.

"Walaupun gesaan saya mesti capai kemajuan tapi tahap pengorbanan penjawat awam ini luar biasa. Bukan sahaja dalam menghadapi ancaman komunis dahulu (tetapi juga) menangani Covid-19.

"Jangan lupa petugas barisan hadapan itu adalah penjawat awam, jadi kerajaan setuju supaya SSM digantikan dengan SSPA," kata beliau lagi.

Perbaharuan lain antaranya:

  • kelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setara
  • galak penugasan berbilang (multitasking) dan kemahiran berbilang (multiskilling)
  • perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil dipindah kepada skim lain
  • seragam dan kelaskan semula gred jawatan berdasarkan keperluan semas
  • pinda syarat lantikan 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik
  • audit perjawatan bagi kenal pasti ketidakseimbangan di kementerian dan agensi
  • amalan kongsi sumber perwakilan di luar negara dalam bidang sama