AGENDA

RM500 juta wang tidak dituntut, Amanah Raya kesan waris

31 Jul 2024, 8:41 AM
RM500 juta wang tidak dituntut, Amanah Raya kesan waris

BAGAN SERAI, 31 JULAI: Amanah Raya Bhd (Amanah Raya) giat menjejak waris RM500 juta Wang Menunggu Dituntut (WMD) atau dana tertangguh yang masih tersimpan dengan agensi itu setakat akhir Julai lalu.

Pengerusinya Tan Sri Idrus Harun berkata AmanahRaya bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pemimpin masyarakat bagi menjejak waris wang itu.

"Antara faktor utama wang itu tidak dituntut adalah kerana perbalahan yang berlaku antara penerima bahagian pusaka serta kes membabitkan kematian berlapis, sekali gus mengakibatkan harta berkenaan tidak dituntut atau diagihkan kepada penerima berhak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat 2024 'Jom Pakat Pi Bendang' di Unit Peladang Parit Haji Ali Alor Pongsu yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar.

Idrus berkata Amanah Raya hanya berperanan sebagai pemegang amanah kepada WMD ini sehingga serahan dibuat kepada waris sah.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dianjurkan, Idrus berkata Amanah Raya turut menyalurkan sumbangan bagi membantu petani dan peladang melalui program tanggungjawab sosial.

"Bagi memastikan kelestarian aktiviti pertanian dan pemerkasaan kebajikan pesawah dapat dikekalkan, kita turut menyumbang peralatan dan input pertanian merangkumi set lengkap pam air, pam racun, mesin rumput, rumah burung hantu termasuk baja serta racun rumpai bernilai RM100,000.

"Kita harapkan bantuan ini mampu menyuntik semangat khususnya kepada petani dan peladang untuk terus memainkan peranan proaktif dalam merencanakan industri pertanian dan agro makanan," katanya.

Beliau berkata turut dianjurkan ialah kenduri rakyat, gotong-royong pembersihan kawasan, sukan rakyat dan pelbagai lagi aktiviti melibatkan 300 pegawai dan anggota LPP, Amanah Raya serta ahli Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.