ad
AGENDA

LUAS laksana pemantauan intensif di empat sungai setiap 30 minit sejak semalam

24 Jul 2024, 2:10 AM
LUAS laksana pemantauan intensif di empat sungai setiap 30 minit sejak semalam
LUAS laksana pemantauan intensif di empat sungai setiap 30 minit sejak semalam
LUAS laksana pemantauan intensif di empat sungai setiap 30 minit sejak semalam

SHAH ALAM, 24 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksana pemantauan intensif setiap 30 minit bagi menganalisa keadaan aliran Sungai Kuang, Sungai Kundang, Sungai Sembah dan Sungai Selangor susulan kes pencemaran bau semalam.

Menurut agensi itu, pihaknya juga melaksanakan langkah mitigasi terhadap pengesanan bau abnormal di lokasi berkaitan dan air mentah disalurkan semula ke loji rawatan air (LRA) utama sejak petang semalam.

"Tindakan kerja pembersihan oleh premis terlibat susulan Surat Arahan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 di kawasan lokasi yang terjejas dan terkesan dengan bahan pencemar tersebut juga dipantau rapi oleh LUAS dan selesai sepenuhnya pada jam 11 malam tadi.

"Verifikasi LUAS di semua lokasi berkenaan mengesahkan bacaan 0 ton dan tiada lagi kesan bahan tersebut ditemui," katanya yang turut menambah pihaknya akan meneruskan pemantauan dan sentiasa bersiap siaga untuk Tindakan mitigasi yang perlu.

[caption id="attachment_653886" align="aligncenter" width="812"] Petugas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan kerja mitigasi bagi memulihkan pencemaran bau Sungai Kuang pada 23 Julai 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor [/caption]

Susulan kejadian itu, LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan penguatkuasaan terhadap premis terlibat di dalam insiden ini.

"Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Selayang juga akan mengambil tindakan yang berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing terhadap premis tersebut," katanya.

Susulan pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah semalam, Air Selangor terpaksa menghenti tugas sementara LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Berikutan itu, tujuh wilayah iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Bagamanapun, setakat 6 pagi tadi status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai 9.9 peratus.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 kini kembali beroperasi sepenuhnya.

Air Selangor juga menjangkakan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas mencapai sekitar 40 peratus pada 8 pagi esok, diikuti 90 peratus (8 malam) dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya jam 8 pagi Jumaat ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.