ad
AGENDA

KPM: Institusi perlu patuh garis panduan anjur program, terima sumbangan

22 Jul 2024, 1:21 AM
KPM: Institusi perlu patuh garis panduan anjur program, terima sumbangan

PUTRAJAYA, 22 JULAI: Pentadbir di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mematuhi garis panduan sedia ada berkaitan penganjuran program dan penerimaan sumbangan.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkam garis panduan itu antaranya melarang sumbangan melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

"KPM mengalu-alukan usaha sekolah untuk menganjurkan program dan mendapatkan sumbangan bagi tujuan pembangunan selaras dengan inisiatif Sekolah Milik Masyarakat.

"Namun ini perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu KPM sentiasa proaktif menangani gejala sosial dalam kalangan generasi muda dan pelbagai program kesedaran serta pendidikan pencegahan dianjurkan di sekolah, bertujuan untuk memberi bimbingan kepada murid.

Justeru, kementerian itu mengambil perhatian serius isu penganjuran program amal di sebuah sekolah yang melibatkan sumbangan syarikat minuman keras seperti dilaporkan media baru-baru ini.

"Isu ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.