ad
AGENDA

Bot karam, mayat nelayan warga asing ditemukan tersangkut pada jaring

21 Jul 2024, 11:10 AM
Bot karam, mayat nelayan warga asing ditemukan tersangkut pada jaring

SHAH ALAM, 21 JULAI: Tiga nelayan warga asing selamat manakala seorang lagi lemas apabila sebuah bot kelas C dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Pantai Redang, Sekinchan, Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata pihaknya dimaklumkan berkaitan kejadian kira-kira 4 petang semalam oleh Balai Polis Sekinchan dan telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awal, tiga daripadanya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan berhampiran manakala seorang lagi mangsa telah hilang.

"Lebih kurang 6.15 petang semalam, Balai Polis Sabak Bernam memaklumkan mayat mangsa ditemukan tersangkut pada jaring pukat bot nelayan tempatan di Bagan, Sekinchan. Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Usaha mencari mangsa melibatkan kira-kira 30 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan dengan kawasan pencarian seluas lima batu nautika persegi iaitu sekitar Perairan Pantai Sekinchan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Muhaimin berkata operasi ditamatkan pada 9 malam tadi manakala komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa peka terhadap keselamatan di laut dan sentiasa menitikberatkan faktor keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.