ad
AGENDA

Wanita dilapor hilang sejak Rabu selepas hantar kereta sewa kepada pelanggan

12 Jul 2024, 1:15 PM
Wanita dilapor hilang sejak Rabu selepas hantar kereta sewa kepada pelanggan

IPOH, 12 JULAI: Seorang pekerja sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata laporan kehilangan wanita dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah itu dibuat rakan serumahnya pada 1.56 pagi, semalam.

“Rakan mangsa ada cuba menghubunginya namun tiada balasan. Difahamkan, mangsa mempunyai teman lelaki dan pihak polis sedang mengesannya untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata Nur Farah Kartini yang berasal dari Sarawak dan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali terakhir dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slek hitam.

Justeru polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di talian 05-4596122 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kehilangan wanita itu setelah satu hantaran dimuat naik pengguna dipercayai rakannya.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.