AGENDA

LPPKN laksana kajian keluarga, libat lebih 37,000 kediaman

11 Jul 2024, 8:47 AM
LPPKN laksana kajian keluarga, libat lebih 37,000 kediaman

SHAH ALAM, 11 JULAI : Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bakal menjalankan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 bermula 15 Julai hingga 31 Disember ini.

Menterinya Dato' Sri Nancy Shukri berkata kajian berskala besar dan bersifat nasional itu membabitkan sebanyak 37,550 kediaman terpilih di seluruh Malaysia yang bakal disantuni.

"Kajian ini bagi menyediakan data terkini dan siri masa berkaitan kependudukan, kekeluargaan dan kesihatan reproduktif serta sosio-ekonomi penduduk Malaysia.

"Ia sebagai input dan bukti kepada pihak kerajaan dalam pembangunan dasar, inisiatif dan program di Malaysia pada masa akan datang bertepatan dengan slogan KPKM-6 iaitu “Suara Keluarga, Masa Depan Negara”," katanya menerusi kenyataan.

Nancy menyeru seluruh ahli keluarga terpilih memberi kerjasama baik kepada penemu bual dan menjadikan KPKM-6 sebagai platform perkongsian maklumat dan pandangan untuk dijadikan sumber data.

Jelasnya, maklumat yang diperoleh itu juga bagi memudahkan pihak berkaitan untuk membangunkan dasar, inisiatif dan program untuk pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai langkah keselamatan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kajian ini di laman sesawang LPPKN www.lppkn.gov.my atau portal rasmi kajian kpkm6.lppkn.gov.my serta media sosial LPPKN.

Lima kategori responden disasarkan dalam kajian KPKM-6 adalah:

  1.  Wanita pernah berkahwin berusia 15-59 tahun
  2. Lelaki pernah berkahwin berusia 15-59 tahun
  3. Remaja belum pernah berkahwin berusia 13-24 tahun
  4. Warga emas berusia 60 tahun ke atas
  5. Penduduk bujang berusia 25-59 tahun