ad
AGENSI

APMM Selangor tahan bot bawa lebihan penumpang

8 Jul 2024, 7:55 AM
APMM Selangor tahan bot bawa lebihan penumpang

SHAH ALAM, 8 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot kerana membawa lebihan penumpang pada sekitar 1 tengah hari di 0.3 batu nautika selatan Tanjung Harapan, dekat sini, semalam.

Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berkata bot penumpang itu ditahan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Ketam.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu membawa 45 orang penumpang yang melebihi had dibenarkan dan tidak memakai jaket keselamatan. Bot tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan seorang kru, masing-masing warga tempatan berusia 19 dan 40 tahun.

“Nakhoda, kru dan bot ditahan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia dan tindakan lanjut. Kesemua penumpang dibawa ke Jeti Pulau Ketam diiringi aset Maritim Malaysia,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan iaitu 11 orang dan tidak memakai jaket keselamatan.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.