SHAH ALAM, 6 JULAI: Dato' Menteri Besar mengajak orang ramai mengunjungi program jualan murah kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang berlangsung di lima lokasi pagi ini.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelbagai barangan makanan mentah dan asas dijual pada harga lebih rendah dari pasaran luar menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER).
"Warga Selangor berpeluang menikmati harga barangan makanan mentah dan asas pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena JER.
"Rujuk senarai lokasi JER pada 6 Julai dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari," katanya menerusi Facebook semalam.
Berdasarkan info grafik yang dikongsi, jualan murah itu diadakan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang, Pusat Desa Kampung Sungai Gulang-Gulang (Permatang), Birchwood Court Bandar Tasik Puteri (Kuang), Taman Desa Vista (Sungai Pelek) dan pekarangan Masjid Kyai Hj Abdullah Omar Kampung Batu 14 (Sementa).
[caption id="attachment_650946" align="aligncenter" width="815"]
Lima lokasi Jualan Ehsan Rahmah (JER) pada 6 Julai 2024 dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]
Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


