SHAH ALAM, 5 JULAI: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan di 10 lokasi hujung minggu ini, bermula 10 pagi.
Pada Sabtu, Jualan Ehsan Rahmah bertempat di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kajang (Seri Setia), Pusat Desa Kampung Sungai Gulang-Gulang (Permatang), Birchwood Court Bandar Tasik Puteri (Kuang), Taman Desa Vista (Sungai Pelek) dan pekarangan Masjid Kyai Hj Abdullah Omar Kampung Batu 14 (Sementa).
Jualan Ahad di parkir Dewan D'Kelana SS7/15 Kelana Jaya (Seri Setia), Dewan Orang Ramai Jenderaam Hilir (Dengkil), Dewan Bola Keranjang Kampung Sungai Terentang (Rawang), berhampiran Klinik Komuniti Seri Serdang (Seri Serdang) dan Pangsapuri Sunway Sinar (Kota Anggerik).
Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).
Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.
Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.




