ad
AGENDA

KPDN buka 15 kertas siasatan ke atas stesen minyak di sempadan

1 Jul 2024, 10:40 AM
KPDN buka 15 kertas siasatan ke atas stesen minyak di sempadan

KOTA BHARU, 1 JULAI: Sebanyak 15 kertas siasatan terbaharu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dibuka ke atas beberapa stesen minyak dalam radius 50 kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata sekiranya didapati bersalah kesemua stesen terlibat berdepan risiko digantung operasi.

“Siasatan yang dijalankan oleh KPDN Kelantan sudah selesai dan sudah dihantar ke pihak Ibu Pejabat di Putrajaya. Kami menjangkakan keputusan akan diperolehi dalam masa terdekat.

“Pihak kami juga sudah membuat pengesyoran agar stesen-stesen terlibat digantung operasi kerana terlibat secara langsung dengan pihak tertentu dalam menyeludup keluar bahan api ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Azman berkata pihaknya juga turut melakukan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Mengulas lanjut, Azman berkata sejak 2020 hingga sekarang, sebanyak 31 kes melibatkan stesen minyak telah dikenakan tindakan kompaun dengan jumlah keseluruhan bernilai RM129,300.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikesan dilakukan oleh stesen minyak tersebut termasuk melanggar arahan pengawal bekalan iaitu kesalahan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, mengisi minyak di dalam tong tanpa kebenaran dan pembelian berulang.

“Berdasarkan siasatan dan risikan, kebanyakan stesen-stesen itu disyaki terlibat bersekongkol dengan individu tertentu bagi menyeludup keluar bahan api ke negara jiran.

“Tindakan ini adalah satu pengkhianatan terhadap negara kerana bahan api seperti petrol RON95 yang diberikan subsidi oleh kerajaan untuk rakyat negara ini telah diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan menerusi penyeludupan," katanya.

Beliau berkata di kawasan radius 50 kilometer dari sempadan terdapat sebanyak 48 stesen minyak yang disyaki menjadi tumpuan kumpulan penyeludup mendapatkan bekalan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.