ad
AGENDA

Polis kesan iklan produk kesihatan palsu guna imej individu terkenal

19 Mei 2024, 2:30 PM
Polis kesan iklan produk kesihatan palsu guna imej individu terkenal

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam melakukan pembelian barangan kesihatan menerusi Internet, susulan terdapat trend pengiklanan produk kesihatan palsu dengan menggunakan imej individu terkenal dalam media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata trend pengiklanan menggunakan kaedah itu bertujuan mengelirukan pembeli dan memberi gambaran seolah-olah produk berkenaan dihasilkan individu terbabit.

Beliau berkata pihaknya ada menerima laporan daripada seorang pakar kesihatan yang juga selebriti media sosial mendakwa gambar dan nama syarikatnya telah digunakan tanpa kebenaran untuk mempromosikan satu produk kesihatan yang dipercayai boleh memudaratkan pengguna.

“Paparan iklan produk kesihatan yang bertujuan mengelirukan dan memperdayakan pembeli ialah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan salah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ramli berkata orang ramai boleh mendapatkan nasihat dan panduan daripada pihak Kementerian Kesihatan sebelum membuat keputusan membeli produk kesihatan daripada Internet atau media sosial.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.