ad
AGENDA

Isteri, pengawal peribadi antara 11 saksi diambil keterangan kes tembak KLIA

15 Apr 2024, 5:49 AM
Isteri, pengawal peribadi antara 11 saksi diambil keterangan kes tembak KLIA

SEPANG, 15 APRIL: Polis sudah mengambil keterangan 11 saksi bagi membantu siasatan berhubung insiden tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pagi semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata antara yang memberi keterangan ialah pengawal peribadi yang terkena tembakan, isteri suspek, pengawal keselamatan di lapangan terbang, anggota polis dan juga doktor yang memberikan rawatan.

"Kita akan panggil beberapa lagi saksi, (termasuk) yang terlibat dalam perniagaan, ahli keluarga (suspek dan mangsa) serta beberapa lagi individu yang boleh membantu siasatan," katanya kepada media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah KLIA, di sini hari ini.

Beliau berkata polis giat menjejak suspek dan percaya lelaki itu masih berada dalam negara.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam seorang lelaki melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di balai ketibaan KLIA Terminal 1, namun satu das tersasar dan satu lagi das terkena salah seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Susulan insiden itu pengawal peribadi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian perut, dan kini dirawat di sebuah hospital.

Hussein berkata tiada penglibatan orang lain dalam insiden itu dan identiti suspek disahkan melalui keterangan saksi dan juga kamera litar tertutup (CCTV).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.