ad
AGENDA

PM yakin rakyat mampu realisasi potensi pembangunan ekonomi negara

12 Apr 2024, 12:12 PM
PM yakin rakyat mampu realisasi potensi pembangunan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin dengan kemampuan rakyat Malaysia merealisasikan potensi negara dalam pembangunan ekonomi, terutama dalam pelaburan bernilai tinggi.

Berkongsi laporan video dari laman Facebook Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai potensi Malaysia yang semakin meningkat dalam industri semikonduktor hari ini, Anwar berkata kerajaan Madani komited untuk membina masa depan negara yang baharu, berteknologi tinggi dan berinovasi.

“Dengan pelaburan bernilai tinggi daripada syarikat global, menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan penuh herhadap potensi setiap rakyat Malaysia dalam prospek cerah untuk ekonomi kita dan masa depan kita bersama sebagai sebuah negara,” kata Anwar dalam akaun Facebooknya.

Laporan video WEF menekankan bahawa Malaysia, terutamanya Pulau Pinang, sedang muncul sebagai kuasa semikonduktor baharu, selepas negeri itu memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) bernilai AS$12.8 bilion (AS$1 = RM4.76) tahun lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.