ad
AGENDA

Pemandu pelancong meninggal dunia ditimpa batu di Ipoh

9 Apr 2024, 1:15 AM
Pemandu pelancong meninggal dunia ditimpa batu di Ipoh

IPOH, 9 APRIL: Seorang pemandu pelancong meninggal dunia akibat ditimpa batu di kawasan Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling, Taman Saikat, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan malam ini berkata pihaknya menerima makluman orang awam mengenai kejadian itu pada kira-kira 11.30 pagi.

Beliau berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berusia 44 tahun sedang membawa pelancong dari Vietnam ke Ipoh.

“Semasa berada di tempat kejadian, satu bongkah batu telah terjatuh dan mengenai kepala mangsa, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Abang Zainal Abidin berkata hasil pemeriksaan pakar forensik perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian disebabkan kecederaan kepala setelah ditimpa batu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas badan si mati, tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.