SHAH ALAM, 5 APRIL: Syarikat Aeon BiG baru-baru ini menerima fasiliti pembiayaan Islam pertama berjumlah RM150 juta daripada HSBC Amanah bagi membiayai operasi harian perniagaannya di Malaysia.
Dalam kenyataan bersama, dana untuk membangunkan aktiviti mematuhi syariah juga meliputi rancangan perkembangan pasar raya itu, termasuk pembukaan cawangan baharu di Seremban hari ini.
"Aeon BiG, anak syarikat Aeon Co Ltd (Jepun), mengendalikan 21 pasar raya di Malaysia. Justeru, pembiayaan daripada HSBC Amanah amat penting untuk meningkatkan lagi kualiti operasi," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Aeon BiG Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berbangga dapat menyelaras strategi pertumbuhan menerusi kerjasama dengan syarikat perbankan tersebut.
Jelasnya, kerjasama itu menggariskan dedikasi pasar raya berkenaan untuk memberikan khidmat sebaik mungkin kepada komuniti, sambil mematuhi prinsip Islam.
"Kami bersedia mempercepat pertumbuhan, rancangan perkembangan dan penyelenggaraan yang akan memerikan impak positif dan nilai kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah Raja Amir Shah berkata permintaan pembiayaan Islam yang inovatif semakin meningkat dalam kalangan pelanggan domestik dan antarabangsa.
"Perjanjian ini menunjukkan bagaimana kami menggunakan rangkaian antarabangsa untuk membuka ruang bagi pelanggan menikmati tawaran dan kestimewaan pembiayaan Islam," jelasnya.


