SHAH ALAM, 28 MAC: Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga orang kelainan upaya (OKU) atau uzur boleh mengimbas kod QR sistem Pangkalan Data Utama (Padu) untuk memohon pertolongan lanjut.
Laman X Padu memaklumkan individu atau ahli keluarga boleh mengimbas kod QR serta mengisi alamat, nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi sebelum tarikh akhir pada 31 Mac ini.
Selain mengimbas kod QR, pertolongan kepada golongan OKU atau uzur boleh dipohon menerusi pautan https://tinyurl.com/JomDaftarPADU.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan lebih berwaspada kerana tiada bayaran dikenakan untuk mengemas kini sistem Padu.
“Sentiasa berwaspada sekiranya terdapat individu yang memberikan pertolongan untuk mendaftar dan pengemaskinian Padu dengan meminta bayaran. Tiada bayaran yang dikenakan untuk mengemas kini Padu,” maklum laman X sistem tersebut.
Sehingga 31 Mac, lebih 50 kaunter fizikal dibuka di sekitar negeri ini bagi memudahkan dan membantu orang ramai mendaftar.
Orang ramai juga diingatkan membawa kad pengenalan diri, salinan kad pengenalan setiap tanggungan serta maklumat akaun bank.
Setakat semalam, 8.79 juta individu mengemas kini data masing-masing yang mana Selangor mencatat pendaftaran tertinggi seramai 1.38 juta individu.
Individu berumur 18 tahun ke atas terutama ketua isi rumah disaran mendaftar segera dengan sistem Padu bagi mengelak tercicir bantuan atau subsidi bersasar.
Pada 20 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha dipergiat bagi membantu penduduk mendaftar dan mengemaskini maklumat dalam sistem Padu.
Selain mengunjungi kaunter fizikal, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my yang dianggar mengambil masa kurang 10 minit.
Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal untuk meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.