AGENSI

Bantu persiapan raya, negeri bakal anjur jualan murah istimewa

15 Mac 2024, 8:30 AM
Bantu persiapan raya, negeri bakal anjur jualan murah istimewa

SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Selangor akan menganjurkan Jualan Ehsan Rahmah (JER) istimewa sempena Hari Raya Aidilfitri bagi membantu umat Islam membuat persiapan.

Dato’ Menteri Besar berkata jualan tersebut dirancang di pelbagai lokasi mengikut zon, sekali gus memberi peluang lebih ramai penduduk mendapatkan barangan asas pada harga rendah.

“Sebagaimana lazim, menjelang musim perayaan memang kita ada program JER isitimewa yang akan dilaksana di beberapa lokasi untuk jualan pelbagai barangan dengan harga berpatutan.

“Kita buat jualan ini sejak pandemik. Kita akan umumkan nanti. Sebelum ini kita buat hanya di satu lokasi tetapi kali ini mungkin di pelbagai lokasi mengikut zon,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dan iMotorbike di Glenmarie di sini, hari ini.

Tahun lalu, Kerajaan Selangor menganjurkan Jualan Mega Ehsan Aidilftri selama enam hari di 23 lokasi seluruh negeri dengan tawaran harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Program dilaksana dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan negeri dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad.