SHAH ALAM, 15 MAC: Kerajaan Negeri akan menghantar surat niat (Letter of Intent) susulan hasrat untuk mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata surat tersebut dihantar hari ini atau Isnin hadapan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Ya surat niat secara rasmi akan dihantar hari ini atau Isnin hadapan selepas kita buat keputusan menulis surat itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu lalu.
“Selepas hantar surat itu, ia akan diikuti dengan siri perbincangan antara kerajaan persekutuan dan negeri. Ada banyak perkara yang perlu diselesaikan kerana ia melibatkan sebahagian kuasa pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor dan syarikat jualan motosikal, iMotorbike di Glenmarie di sini, hari ini.
[caption id="attachment_633112" align="aligncenter" width="736"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif iMotorbike World Sdn Bhd Gil Carmo (depan, kiri) dan Pengerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) Nazri Noh (depan, kanan) di iMotorbike Glenmarie Showroom 12, Shah Alam pada 15 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Isnin lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri berhasrat mengguna pakai Akta 672 selain menjangkakan akan melaksana akta berkenaan pada tahun ini mengikut peruntukan kerajaan persekutuan.
Kerajaan Selangor bakal menjadi negeri kelapan melaksana akta pengurusan sisa pepejal itu selepas Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Kuala Lumpur.
Akta itu membolehkan keseragaman undang-undang dalam mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap serta merancakkan ekonomi kitaran.