KUALA SELANGOR, 2 MAC: Ahli politik perlu menghormati dan mengikuti titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertegas tidak melayan mana-mana pihak menggugat kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau percaya titah Sultan Ibrahim itu selepas melihat kesan ketidakstabilan yang dihadapi negara beberapa tahun lalu.
“Titah Sultan Ibrahim itu merupakan harapan dan nasihat Baginda yang harus dihormati serta diikuti semua rakyat dan pemain politik. Saya percaya Baginda melihat dan memerhati bagaimana ketidakstabilan beberapa tahun lepas.
[caption id="attachment_631138" align="aligncenter" width="692"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan Dapur Ehsan dan melepaskan peserta Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
“Ketidakstabilan ini telah mencipta masalah ekonomi yang kita sedang cuba baiki. Ia (kerja baik pulih ekonomi) bukan kerja satu hari dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai firasat tersendiri.
“Di peringkat Kerajaan Perpaduan kita akan cuba kekalkan perpaduan yang ada dan terus melaksanakan tanggungjawab,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar.
Terdahulu, beliau merasmikan Ehsan Fun Run anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Selangor Fruit Valley di sini, hari ini. Larian itu disertai lebih 800 peserta.
Baru-baru ini, Sultan Ibrahim pada perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bertitah tidak akan melayan sebarang permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
[caption id="attachment_631191" align="aligncenter" width="688"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan Dapur Ehsan selepas melepaskan peserta Program Ehsan Fun Run @ Selangor Fruit Valley 2024 di Selangor Fruit Valley, Kuala Selangor pada 2 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
Titah Baginda, jika ada yang hendak main politik tunggu masa pilihan raya akan datang.


