ad
AGENDA

Penoreh getah beralih menoreh waktu malam berikutan cuaca panas

18 Feb 2024, 7:31 AM
Penoreh getah beralih menoreh waktu malam berikutan cuaca panas

JITRA, 18 FEB: Cuaca panas yang melanda negara khususnya di negeri ini memaksa segelintir penoreh getah bekerja pada waktu malam untuk mendapatkan hasil pengeluaran susu getah yang lebih.

Penoreh dari Felda Laka Selatan di Changlun, Mohd Jamil Shahbidin, 63, berkata suhu panas pada siang hari menyebabkan pengeluaran susu getah berkurangan sekali gus menjejaskan pendapatan penoreh.

"Kalau kami menoreh siang, kami mula pada 6 pagi dan selesai 9 pagi, kemudian cuaca sudah mula panas, susu getah hanya sempat mengalir dua jam sebelum berhenti menitik.

"Kalau menoreh malam, susu getah dapat terus keluar hingga empat jam, jadi hasil pengeluaran susu itu lebih lagi berbanding menoreh pada waktu siang," katanya ketika ditemui di felda berkenaan malam tadi.

Mohd Jamil yang juga Pengerusi Biro Ladang di felda itu berkata lebih 70 peneroka di situ beralih menoreh di ladang getah masing-masing pada waktu malam bagi mendapatkan hasil yang lebih baik.

"Dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, kalau menoreh siang mungkin boleh dapat hasil 700 kilogram getah sebulan, tapi kalau menoreh pada waktu malam, hasil boleh mencapai satu tan sebulan," katanya.

Penoreh lain, Rodhi Md Rejab, 47, berkata cuaca panas menyebabkan daun pokok getah luruh dan menjadikan kawasan ladang getah agak panas apabila matahari mula menyinar.

Keadaan itu, katanya menyebabkan penoreh tidak mampu menahan terik pada waktu siang dan terpaksa pulang awal walaupun ada pokok masih belum ditoreh.

"Kalau menoreh pada waktu siang, pukul 9 pagi terpaksa berhenti sebab cuaca terlalu panas, kalau malam kami boleh menoreh lama sikit dan banyak pokok boleh ditoreh, hasil pun akan bertambah," katanya.

Menurut Rodhi kebiasaannya penoreh ke ladang getah selepas waktu Isyak atau 10 malam dan selesai menoreh pada 2 atau 3 pagi.

Bagi Mohd Nor Hamid, 75, walaupun menoreh pada waktu malam agak berisiko kerana keadaan gelap selain ancaman haiwan liar dan berbisa, dia terpaksa melakukannya bagi memperoleh pendapatan.

"Sebelum masuk ke ladang getah kita perlu bersedia, bawa lampu, pakai pakaian sesuai, pakai kasut but, kita juga kena pastikan ladang bersih daripada semak samun," katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.