ad
AGENDA

Tiga remaja dikhuatiri lemas ketika memancing, mandi sungai

12 Feb 2024, 10:20 AM
Tiga remaja dikhuatiri lemas ketika memancing, mandi sungai

IPOH, 12 FEB: Tiga remaja lelaki yang juga tiga sekawan dikhuatiri lemas dalam satu insiden di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari dekat Pantai Remis hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Darma, 14, Sarath, 16, dan seorang lagi rakan mereka berusia 16 tahun dipercayai lemas ketika sedang memancing dan mandi-manda di sungai tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.26 petang.

Katanya sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Ketua operasi (Pegawai Bomba Kanan II Muhamad Hanafi Mohamed Rasidi) mengarahkan anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling atau pencarian di permukaan air dan bacaan air sungai ketika ini pada paras 2.37 meter iaitu air pasang.

"Kawasan kejadian berada dalam ladang sawit iaitu dua kilometer dari jalan besar yang hanya sesuai bagi kenderaan pacuan empat roda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu liputan Government Integrated Radio Network (GIRN) yang lemah di kawasan itu antara cabaran yang dihadapi pasukan penyelamat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.