AGENDA

Tanah runtuh di Cameron Highlands, lima mangsa tertimbus disahkan warga Myanmar

26 Jan 2024, 3:29 AM
Tanah runtuh di Cameron Highlands, lima mangsa tertimbus disahkan warga Myanmar

KUANTAN, 26 JAN: Kesemua mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands disahkan warga Myanmar, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands.

Kelima-lima mereka ialah Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menerima laporan pada 2.10 pagi Jumaat dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan dan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi," menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak jawatankuasa menasihati orang ramai untuk tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian dan menghubungi bilik gerakan di 05-4915999 atau balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata pihaknya telah menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit anjing pengesan (K9) ke lokasi kejadian.

Selain itu, turut digerakkan ialan bantuan pasukan khas dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

"Kesemua mangsa dipercayai mendiami sebuah rumah yang telah dihempap dalam tanah runtuh itu, dengan seorang daripadanya dikatakan wanita," katanya.

Wan Mohammad Zaidi berkata seorang daripada mangsa ditemukan meninggal dunia pada 6.27 pagi, namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menerima laporan kes tanah runtuh di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands pada 9.33 malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.