ad
AGENDA

MB temu ketua menteri Sabah, bincang isu keterjaminan makanan

23 Jan 2024, 7:00 AM
MB temu ketua menteri Sabah, bincang isu keterjaminan makanan
MB temu ketua menteri Sabah, bincang isu keterjaminan makanan

SHAH ALAM, 23 JAN: Dato’ Menteri Besar hari ini mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor di pejabat ketua menteri di Kota Kinabalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai perkara dibincangkan menerusi pertemuan itu antaranya keterjaminan makanan dan potensi permulaan kerjasama antara kedua-dua negeri.

“Ini khususnya dalam tanaman bijiran jagung serta ternakan seperti lembu agar kita dapat bersama-sama mengurangkan kebergantungan terhadap barang makanan import.

“Selain itu, ia juga mampu memberikan dampak positif terhadap harga barang makanan mentah,” katanya di Facebook.

[caption id="attachment_625031" align="aligncenter" width="753"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan rasmi bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dipejabatnya di Kota Kinabalu pada 23 Januari 2024. Foto Facebook Amirudin Shari[/caption]

Dalam pertemuan sama, Amirudin berkata pihaknya turut membincangkan kaedah mengukuhkan ekosistem pelancongan yang mampan serta mempunyai fungsi teknologi digital.

“Ini pada masa sama dapat memelihara keunikan daerah-daerah tempatan dalam mempromosikan barangan yang dihasilkan oleh komuniti.

“Saya melihat Sabah sebagai antara negeri yang terkehadapan terutamanya dalam penghasilan produk tempatan seperti kraftangan yang berkualiti tinggi dan berhasrat mengadakan kerjasama dalam bidang ini,” jelasnya.

Terdahulu, kunjungan Amirudin sempena lawatan kerja dan pemukiman bersama EXCO Kerajaan Selangor disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim, Penasihat Undang-undang Negeri Dato’ Salim Soib dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.