AGENDA

PM mahu GLC terus tekad main peranan sokong agenda bumiputera

22 Jan 2024, 9:46 AM
PM mahu GLC terus tekad main peranan sokong agenda bumiputera

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terus komited dalam memainkan peranan menyokong agenda bumiputera.

Semasa mempengerusikan Mesyuarat Pra Majlis Ekonomi Bumiputera petang tadi, Perdana Menteri menekankan bahawa agenda bumiputera adalah agenda nasional dan perlu sentiasa didasari tatakelola yang jelas.

“Mesyuarat mendengar taklimat dan menyentuh kedudukan serta cabaran semasa dan akan datang berkaitan pembangunan ekonomi bumiputera,” kata beliau dalam catatan di media sosial hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri yang berkaitan dan beberapa ketua pegawai eksekutif GLC.

Anwar berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang akan diadakan pada 29 Feb hingga 2 Mac 2024.

“KEB 2024 bertujuan membantu kerajaan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu serta penambahbaikan agenda bumiputera yang adil, saksama dan inklusif,” kata beliau.

Beliau berkata mesyuarat turut mendengar pandangan awal yang dibentangkan oleh pengerusi-pengerusi kluster sesi libat urus yang telah ditubuhkan bagi tujuan KEB 2024.

“Banyak isu di lapangan dan cadangan bernas yang dilontarkan. Saya menyambut baik kerjasama strategik yang diwujudkan dan menekankan kepentingan penyelarasan antara kementerian dan agensi yang berkaitan dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan,” kata beliau.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.