ad
AGENDA

Konsep bina dan jual elak pembeli rugi, risiko projek terbengkalai

22 Jan 2024, 12:50 AM
Konsep bina dan jual elak pembeli rugi, risiko projek terbengkalai

SHAH ALAM, 22 JAN: Konsep bina dan jual perlu dilaksana kerajaan untuk pembangunan hartanah kediaman bagi mengelakkan pembeli menanggung kerugian jika projek gagal siap mengikut jadual.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Profesor Datuk Dr N Marimuthu berkata konsep ini dibuat di seluruh dunia dan ia bukan sesuatu yang baharu, lapor Sinar Harian.

Beliau menjelaskan kaedah tersebut mewajibkan pemaju menyiapkan pembinaan kediaman terlebih dahulu untuk dilihat pembeli berpotensi sebelum bayaran dibuat termasuk mengambil pinjaman bank.

“Mereka pergi tengok rumah dulu, baru beli. Bukannya rumah belum siap tetapi pembayaran dibuat.

Konsep sebegitu sangat penting bagi memastikan masalah rumah terbengkalai dapat diselesaikan, sekali gus tidak membebankan pembeli.

“Di negara seperti Vietnam, rumah akan dibina terlebih dahulu sebelum dijual kepada orang ramai,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Tambah Marimuthu, Fomca hanya bersuara demi membela nasib pembeli yang terpaksa menanggung kerugian disebabkan perlu membayar pinjaman walaupun rumah belum boleh didiami.

“Masalah ini bukan perkara baharu, malah lama berlaku sejak 1980-an. Oleh itu, jika kerajaan mahupun pemaju tidak mengubahnya ia akan terus berlaku,” katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.