KUALA SELANGOR, 19 JAN: Pemukiman Jemaah Menteri 2024 yang berakhir semalam menghasil sinergi baharu bersama seluruh kementerian untuk bekerjasama membangun negara.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata perdana menteri berharap seluruh kementerian dapat bergerak sebagai satu pasukan bagi meningkat ekonomi.
“Dalam ucapan awalan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menegaskan 2024 merupakan tahun untuk kita gerakkan seluruh sinergi semua kementerian untuk bekerja dalam satu pasukan.
“Beliau juga berpesan supaya kita mesti ada keupayaan untuk merendah diri dan mendengar pendapat rakyat ketika kita di puncak kuasa kerana rakyat meletakkan harapan,” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang bersama penjawat awam di Hotel De Palma di sini.
[caption id="attachment_624465" align="alignnone" width="832"]
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berucap sempena majlis jalinan Mesra Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang bersama penjawat awam di De Palma Resort, Kuala Selangor pada 19 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Shamsul juga yakin pemukiman julung kali selepas rombakan Kabinet pada Disember lalu itu bakal memberi impak positif dalam melaksana agenda Belanjawan 2024.
“Pemukiman ini akan beri keputusan yang amat positif bagi menggerakkan agenda yang sudah disusun dalam Belanjawan 2024 sehingga setiap lapisan masyarakat dapat menikmatinya,” katanya.
Pemukiman perdana menteri bersama 31 anggota jemaah menteri berlangsung selama dua hari bermula Rabu lalu diadakan di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya.


