AGENDA

Rakyat diseru sertai kempen kirim poskad kepada PBB, desak terima Palestin

18 Jan 2024, 2:53 PM
Rakyat diseru sertai kempen kirim poskad kepada PBB, desak terima Palestin
Rakyat diseru sertai kempen kirim poskad kepada PBB, desak terima Palestin

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Kempen Pengiriman Poskad Khas Palestin Merdeka sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi dan impian warga Palestin.

Beliau berkata rakyat Malaysia boleh menzahirkan perkara itu melalui Poskad Khas Palestin Merdeka yang boleh didapati di semua pejabat Pos Malaysia atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad, bermula hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkongsi mengenai kempen tersebut menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Menerusi catatan itu, Fahmi memaklumkan bahawa poskad khas tersebut dijual pada harga RM6 untuk tiga keping dengan sekeping poskad pracetak, yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, turut disertakan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri telah menandatangani dan mengirim poskad khas tersebut kepada Guterres, antara lain bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai negara anggota badan dunia itu.

Kandungan poskad itu turut menuntut agar keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.