ad
AGENDA

Beregu Aaron-Wooi Yik, Izzuddin-Sze Fei mara pusingan kedua Terbuka India

17 Jan 2024, 1:49 PM
Beregu Aaron-Wooi Yik, Izzuddin-Sze Fei mara pusingan kedua Terbuka India

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipaksa berkerja keras untuk mara ke pusingan kedua Terbuka India setelah menundukkan wakil Jepun, Akira Koga-Taichi Saito pada pusingan pertama kejohanan itu di New Delhi, hari ini.

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking keempat dunia, menampilkan persembahan seimbang di awal permainan bagi melakar kemenangan set pertama 21-9 pada perlawanan yang berlangsung di K.D Jadhav Indoor Hall itu.

Koga-Saito bangkit dengan menjinakkan beregu negara 21-19 pada set kedua sebelum beregu negara menoktahkan kemenangan di set penentuan dengan 21-14.

Pada pusingan kedua esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan satu lagi beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura yang menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad-Sai Pratheek 21-14, 21-11.

Mengiringi kemaraan mereka, perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia selepas mudah menundukkan wakil Kanada, Brian Yang dengan straight set 21-17 dan 21-19.

Menanti Zii Jia di pusingan kedua adalah pilihan kelima dari Indonesia, Jonatan Christie yang mudah menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long 21-13, 21-7.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut melangkah ke pusingan kedua selepas mengetepikan cabaran beregu Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-11 dan 21-5 dalam pertarungan 30 minit.

Gandingan negara yang kembali bergandingan pada Jun lalu itu akan bertemu beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut sama melangkah ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan wakil Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari 14-21, 21-11, 21-11.

Mereka dijadual bertemu gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-SapsireeTaerattanachai.

Bagaimanapun, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas pada pusingan pertama itu di tangan gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 7-21 dan 12-21.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.