AGENDA

Lebih 90,000 penduduk Gaza maut, cedera, hilang sejak 7 Oktober

6 Jan 2024, 8:18 AM
Lebih 90,000 penduduk Gaza maut, cedera, hilang sejak 7 Oktober

LONDON, 6 JAN: Lebih 90,000 orang iaitu kira-kira empat peratus daripada penduduk di Gaza maut, cedera atau hilang, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med pada Jumaat.

Agensi kemanusiaan yang berpangkalan di Geneva itu menjelaskan bahawa serangan udara, darat dan laut Israel telah memusnahkan kira-kira 70 peratus infrastruktur awam di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober.

Agensi itu mendakwa Israel menjadikan Semenanjung Gaza sebagai kawasan tidak boleh didiami, lapor Agensi Anadolu.

“Israel mendorong pengusiran ratusan ribu orang awam secara paksa,” menurut kenyataan Euro-Med.

Beratus-ratus mayat masih berada di jalan raya, terutamanya di kawasan tentera Israel melakukan pencerobohan darat.

Serangan Israel adalah "percubaan jelas" untuk meluaskan wilayahnya merangkumi seluruh Semenanjung Gaza dengan melanggar undang-undang antarabangsa," merangkumi kemungkinan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, dan pembunuhan beramai-ramai".

Merujuk kepada laporan bahawa Israel melarang bekalan kemanusiaan daripada memasuki Semenanjung Gaza dengan lebih kerap, Euro-Med mendakwa Israel menggunakan "kebuluran sebagai senjata".

Ia mengulangi tuntutan agar pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat "pelanggaran yang telah didokumenkan secara meluas sejak Israel memulakan pembunuhan beramai-ramai ke atas Gaza."

Israel telah melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, membunuh sekurang-kurangnya 22,600 rakyat Palestin manakala 57,910 yang lain cedera.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.