ad
AGENDA

Pengusaha 'kepok' lega cuaca semakin baik di Terengganu

31 Dis 2023, 2:00 PM
Pengusaha 'kepok' lega cuaca semakin baik di Terengganu

CHUKAI, 31 DIS: Keadaan cuaca yang semakin baik di Terengganu memberi kelegaan kepada pengusaha keropok keping ikan, di sini apabila membolehkan mereka kembali menjalankan rutin harian termasuk menjemur kepingan makanan ringan kegemaran ramai itu.

Mohd Bukhori Zainal Abidin, 50, berkata bekalan keropok keping di kedainya semakin berkurang akibat hujan sejak awal bulan ini.

"Berbanding tahun lepas, teruk lagi tahun ini sebab hujan dari awal bulan (Disember). Banyak keropok rosak sebab bila kita jemur, berlaku hujan. Baru hari ini boleh jemur.

“Mujur kita ada buat stok sejak awal untuk jualan musim cuti ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Mohd Bukhori satu hamparan jemuran melibatkan sebanyak 50 kilogram (kg) keropok keping ikan mampu menjana pendapatan sebanyak RM900 dan mendapat permintaan tinggi terutama daripada penduduk tempatan serta pelancong.

"Alhamdulillah, harapnya panas sampai ke petang, musim cuti ni pun bekalan hampir tak cukup. Hari ini dapat jemur... esok kita boleh jual lah,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu bermula 23 Dis lepas kini pulih sepenuhnya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan pusat pemindahan sementara terakhir di negeri itu iaitu Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah di Kuala Nerus yang menempatkan enam orang daripada satu keluarga ditutup pada 2 petang tadi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.