ad
AGENDA

KPM tawar khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar maut dilanggar

16 Dis 2023, 6:45 AM
KPM tawar khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar maut dilanggar

NIBONG TEBAL, 16 DIS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, yang maut akibat dilanggar kereta berhampiran sekolah, semalam.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya amat bersimpati dengan kejadian menimpa pelajar berkenaan dan berharap siasatan segera dapat dilakukan oleh pihak polis terhadap kes itu.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Tragedi ini agak menyayat hati dan dalam konteks KPM kita menawarkan khidmat dari segi kaunseling khususnya kepada keluarga.

“Selain itu, kaunseling juga akan diberikan kepada (pelajar) yang terlibat kerana yang lihat kejadian itu juga adalah anak-anak kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rintis STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik) dan Makmal STEAM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Eng Sungai Udang di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) muat selepas dilanggar sebuah kereta disyaki dipandu seorang pegawai kanan polis dalam kejadian pada kira-kira 12.30 tengah hari.

Susulan itu, pegawai kanan berusia 44 tahun tersebut ditahan dan direman hari ini bagi membantu siasatan.

Polis memaklumkan siasatan akan dilakukan dari pelbagai sudut termasuk yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.