AGENDA

KPKT sedia perluas skim sewa khas bantu B40 miliki rumah

15 Nov 2023, 7:10 AM
KPKT sedia perluas skim sewa khas bantu B40 miliki rumah

SHAH ALAM, 15 NOV: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia menambah baik skim sewa untuk milik (RTO) termasuk kerjasama dengan pihak swasta bagi menepati keperluan golongan sasar.

Timbalan menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata inisiatif tersebut menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) supaya dapat memiliki rumah sendiri.

Beliau menjelaskan skim yang diperkenal pada 2017 ditawarkan untuk individu dalam program perumahan rakyat (PPR) dan gagal mendapat pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.

“KPKT sedang meneliti untuk menambah baik skim RTO sedia ada dan meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk swasta dan institusi kewangan bagi memperluaskan skim ini.

“Kerajaan sentiasa komited menyediakan program perumahan mampu milik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat selain memastikan setiap rakyat mempunyai tempat tinggal," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berhubung konsep sewa beli kepada pembeli rumah pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal menambah skim tersebut dilaksanakan di 18 PPR membabitkan 7,234 unit rumah setakat ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.