AGENDA

Kursus khas galak SME terlibat sijil tempasal, tingkat nilai eksport

14 Nov 2023, 4:56 AM
Kursus khas galak SME terlibat sijil tempasal, tingkat nilai eksport
Kursus khas galak SME terlibat sijil tempasal, tingkat nilai eksport

SHAH ALAM, 14 NOV: Kursus menggalakkan pengusaha kecil dan sederhana (SME) terlibat dalam Sijil Tempasal Berkeutamaan (PCO) akan diadakan bagi manfaat duti import lebih rendah atau bebas duti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) juga meningkatkan nilai eksport negeri dan menyumbang kepada eksport negara.

“Perkara tersebut akan diteliti Invest Selangor supaya mereka bukan hanya bertindak sebagai pempromosi pelaburan tetapi membawa pelaburan keluar dan didagangkan dengan luar.

“Kursus khas akan dilaksana kepada SME untuk mereka terlibat sama dan mengambil kesempatan dalam PCO. Kita akan beri sokongan penuh kepada PCO yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung isu berkenaan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

[caption id="attachment_606585" align="aligncenter" width="797"] Sekitar Ekspo Usahawan Selangor 2023 (SELBIZ 2023) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 7 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

PCO dikeluarkan pihak berkuasa negara pengeksport bagi melayakkan pengimport menuntut kadar tarif berkeutamaan berdasarkan peraturan tempasal yang diguna pakai mengikut perjanjian.

Dalam pada itu, katanya, nilai perdagangan negara menurun 8.1 peratus kepada RM1.718 trilion setakat Ogos berbanding tahun lalu dan nilai eksport menguncup 7.6 peratus kepada RM935.22 bilion.

Amirudin menjelaskan nilai import turut menurun 8.6 peratus kepada RM782.29 bilion selain nilai lebihan dagangan juga menurun dua peratus kepada RM152.9 bilion.

“Prestasi perdagangan itu dalam tempoh lapan bulan disebabkan penyusutan permintaan eksport dari rakan dagangan utama seperti Asean, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun.

“Ia melibatkan pelbagai produk seperti elektrik dan elektronik, petroleum, kimia dan barangan berasaskan kimia, minyak sawit dan barangan berasaskan minyak sawit, mesin serta peralatan,” katanya.

Amirudin menambah kebanyakan negara juga memilih China dan barat untuk membawa serta memperdagang barangan juga pengeluaran meskipun Asean memiliki pasaran baharu yang meluas.

“Kita akan cuba perhalusi dan mendalami untuk memanfaatkan peluang yang ada termasuk menggunakan perdagangan bebas bagi memberi peluang pengeksport,” katanya lagi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.