AGENDA

Banjir Selangor, 381 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan

11 Nov 2023, 1:39 AM
Banjir Selangor, 381 mangsa masih berlindung di pusat pemindahan

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Jumlah mangsa banjir di Selangor yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan pagi ini kepada 381 orang daripada 101 keluarga berbanding 429 orang daripada 110 keluarga, malam tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan lapan PPS sedang beroperasi di negeri itu membabitkan lima di daerah Sepang manakala tiga di Kuala Langat.

Sementara itu di Perak, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal dengan 496 orang daripada 150 keluarga ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, di Hilir Perak sebanyak 166 orang daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan 130 orang daripada 42 keluarga.

"Seramai 46 orang daripada 13 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus,” menurut kenyataan itu.

Mangsa banjir di daerah Kerian kekal 97 orang daripada 24 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.